Yayasan Peneraju telah mengguna pakai pendekatan toleransi sifar terhadap semua bentuk rasuah dan korupsi. Oleh itu, apa-apa bentuk rasuah dan korupsi dalam operasi dan aktiviti harian Syarikat adalah dilarang sama sekali.

Rasuah dan korupsi boleh terdiri dari apa-apa bentuk yang bernilai seperti wang, barang, perkhidmatan, harta benda, hak istimewa, jawatan dalam pekerjaan atau layanan istimewa.

Oleh itu, kakitangan Yayasan Peneraju dan Business Associates tidak boleh sama ada secara langsung atau tidak langsung menawar, memberi, menerima atau meminta sesuatu yang mempunyai nilai, dalam cubaan untuk mempengaruhi keputusan atau tindakan seseorang yang berjawatan seperti yang diamanahkan dalam organisasi secara tidak sah dari segi undang-undang, sama ada untuk kepentingan Yayasan Peneraju atau individu yang terlibat dalam transaksi tersebut.

Amalan korupsi melibatkan penerimaan, permintaan, penawaran, perjanjian, pemberian, secara langsung atau tidak langsung, sesuatu yang mempunyai nilai (‘suapan’) untuk mempengaruhi tindakan pihak lain secara tidak betul, dengan menyalahgunakan kuasa yang diberikan pada jawatan yang disandang oleh mereka.

Berikut merupakan kesalahan rasuah yang boleh disabitkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009:

  1. Menerima atau meminta suapan (Seksyen 16 (a) dan 17 (a));
  2. Menawarkan atau memberikan suapan (Seksyen 16 (b) dan 17 (b));
  3. Membuat tuntutan palsu (Seksyen 18);
  4. Menggunakan jawatan atau kedudukan awam untuk suapan (Bahagian 23); dan
  5. Syarikat yang menggunakan suapan untuk memenangi atau mengekalkan perniagaan, atau untuk mendapatkan kelebihan dalam perniagaan (Bahagian 17A).

Bentuk-bentuk korupsi termasuklah pemberian rasuah, sogokan, bayaran pemudahcara, percanggahan kepentingan, derma dan tajaan amal, derma politik, perlindungan, kronisme, nepotisme, hiburan atau hospitaliti luaran, bid rigging, diskaun, komisen, rent seeking, tuntutan palsu dan penyalahgunaan kuasa.

(Rujukan: Adequate Procedures Best Practices Handbook keluaran GIACC, Edisi Mac 2021).